ARAU, 18 Mei (Bernama) -- Golongan belia digalakkan menyertai pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) kerana mereka boleh menyumbang usaha dalam meningkatkan kawalan keselamatan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sekali gus dapat memupuk semangat perpaduan sejak usia muda.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Che Roslan Che Daud berkata penglibatan gologan itu dalam SRS juga dapat membentuk sikap cakna dalam kalangan mereka terhadap kawalan keselamatan di persekitaran kediaman masing-masing.
“Kita amat menggalakkan penglibatan belia dalam SRS agar mereka bukan sahaja cakna keselamatan kawasan kediaman, tetapi juga memupuk semangat perpaduan dan sukarela sejak usia muda. SRS kini terbuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas, dan kerajaan turut menyediakan caruman perlindungan tahunan untuk anggota,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jom Ronda SRS Bersepadu dan Kempen 1 Keluarga 1 Anggota SRS peringkat negeri Perlis Tahun 2025 di sini malam tadi.
Sementara itu, Che Roslan berkata setakat ini terdapat 5,431 pasukan SRS membabitkan 8,529 KRT dengan 108,620 anggota di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 142 KRT telah diwujudkan dengan 97 pasukan SRS aktif direkodkan di Perlis.
"JPNIN turut melaksanakan inisiatif 'Meremajakan SRS' dengan memperkenalkan aplikasi MySRS bagi memudahkan pelaporan rondaan dan pemantauan kes keselamatan serta menambah baik peralatan pasukan SRS termasuk topi, jaket keselamatan dan lampu suluh taktikal," katanya.
Selain itu, beliau berkata Kempen 1 Keluarga 1 Anggota SRS, terutama di empat negeri sempadan, iaitu Kelantan, Perlis, Kedah dan Perak turut giat diperkasakan dalam usaha memperkukuh keselamatan komuniti kerana SRS bukan hanya rondaan biasa, tetapi turut melambangkan semangat menjaga keselamatan kawasan daripada sebarang ancaman jenayah dan ketidakharmonian masyarakat.
-- BERNAMA