IPOH, 18 Mei (Bernama) -- “Saya maafkan pemandu lori”, demikian reaksi Norazian Mohd Joned, 38, balu kepada Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri, 38, yang enggan memanjangkan isu kemalangan mengorbankan suami serta lapan Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, 13 Mei lepas.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata kejadian berlaku mungkin asbab yang telah tertulis dan tidak mampu dinafikan oleh sesiapa kecuali Allah SWT.
“Mungkin itu cara Allah SWT telah tetapkan pemergian arwah suami dan rakan-rakannya. Arwah (suami) beritahu pada saya, janji Allah itu seminit pun tak pernah lewat.
“Arwah juga pernah beritahu, dia cemburu dengan pemergian enam anggota bomba di sebuah lombong sebelum ini yang didoakan oleh semua orang,” katanya ketika ditemui dikediamannya di Kampung Sungai Itek, di sini hari ini.
Terdahulu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diwakili Ketua Pegawai Operasi Mastura Mohd Khalid turut hadir ke kediaman Norazian sempena Program Ziarah Kasih PTPTN.
Semalam, dilaporkan majikan kepada pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan dengan trak FRU memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa nahas itu yang mengorbankan sembilan anggota FRU.
Sementara itu, Norazian yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar berkata bagi melepaskan kerinduan dia dan anak-anak akan melihat video yang sempat dirakam bersama Allahyarham ketika hayatnya.
“Alhamdulillah, banyak gambar serta video yang dirakam bersama arwah suami. Paling menyentuh hati, apabila anak bongsu saya (setahun tiga bulan) akan memanggil arwah jika melihat video yang saya berikan,” katanya.
Norazian berkata meskipun masih berduka dengan kejadian yang menimpa namun dia tabah dan menerima segala yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
Sementara itu, Mastura berkata sebanyak RM4,000 disumbangkan kepada Norazian yang melibatkan peruntukan melalui perlindungan takaful serta khairat kematian di bawah Simpan SSPN Prime.
Manfaat yang diterima itu berdasarkan kelayakan Allahyarham Amiruddin yang juga pendeposit Simpan SSPN Prime.
“Allahyarham ialah pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuka akaun untuk diri sendiri pada 7 Mei lepad dan melayakkannya menerima manfaat perlindungan takaful berjumlah RM1,000 berserta khairat kematian berjumlah RM3,000.
“Diharapkan wang berkenaan akan digunakan sebaiknya dalam menguruskan hal pendidikan ketiga-tiga anak Allahyarham,” katanya.
-- BERNAMA