MELAKA, 18 Mei (Bernama) -- Kira-kira 300,000 rakyat Indonesia disasar mendapatkan khidmat pemeriksaan dan rawatan kesihatan di empat hospital swasta di Melaka pada tahun ini sekali gus merancakkan sektor pelancongan perubatan negeri itu.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata pada tahun lepas, daripada keseluruhan 800,000 rakyat Indonesia yang direkodkan mendapatkan rawatan perubatan dan pemeriksaan kesihatan di Malaysia, lebih 25 peratus adalah di Melaka.
Justeru, beliau berkata pelbagai usaha mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan di empat hospital swasta di negeri ini giat dilaksanakan bagi menarik kedatangan pelancong perubatan dari Indonesia, khususnya Pekanbaru.
“Pada tahun lepas, saya dimaklumkan Mahkota Medical Centre menerima kira-kira 95,000 pesakit dari luar negara, termasuk Indonesia iaitu lebih 10 peratus daripada keseluruhan rakyat republik itu yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan di negara ini.
“Terbaharu, saya bersama pengurusan Putra Specialist Hospital telah ke Pekanbaru untuk mempromosikan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan di hospital berkenaan dengan kerjasama Timbalan Walikota Pekanbaru,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di sini hari ini.
Beliau berkata hospital swasta di Melaka menjadi pilihan rakyat Indonesia disebabkan harga perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan lebih rendah berbanding di republik itu selain kedudukan Melaka yang terletak berhampiran Sumatera.
Tambah beliau berdasarkan rekod, kebanyakan pesakit adalah dari Bengkalis dan Dumai yang tiba menerusi laluan air menggunakan perkhidmatan feri.
Dalam pada itu, Ngwe berkata terdapat permintaan untuk Melaka mewujudkan semula perkhidmatan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam ke Pekanbaru.
"Permintaan itu disuarakan ketika pertemuan yang diadakan bersama pemimpin Pekanbaru pada awal minggu ini dan saya telah menjemput Walikota Pekanbaru serta Gabenor Riau ke Melaka untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Turut akan dibincangkan kerjasama dua hala antara kedua-dua pihak bagi mengembangkan lagi sektor pelancongan negeri khususnya subsektor perubatan dan agama selain pertukaran pelajar di Universiti Melaka dan universiti di Pekanbaru," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata selain Indonesia, Vietnam juga dilihat sebagai prospek baharu yang akan diberi tumpuan dari aspek promosi bagi menarik pelancong perubatan ke Melaka.
-- BERNAMA