AM

TIADA PERUBAHAN DASAR BERKAITAN PELAKSANAAN BIL TERPERINCI OLEH KLINIK SWASTA - KKM

17/05/2025 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menjelaskan bahawa tiada sebarang perubahan dasar atau pengumuman polisi baharu berkaitan pelaksanaan bil terperinci oleh klinik perubatan swasta. 

Menurut KKM, perkara itu adalah susulan kekeliruan yang timbul berhubung kenyataan dalam satu sesi TikTok Live berkaitan kewajipan penyediaan bil terperinci oleh klinik swasta. 

Kenyataan KKM memaklumkan bahawa sesi itu, yang berlangsung pada Rabu lepas dengan topik ‘Mitos dan Fakta’ Pemaparan Harga Ubat, merupakan penerangan kepada orang awam mengenai pelaksanaan inisiatif pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta serta farmasi komuniti. 

“Hak pesakit untuk mendapatkan bil terperinci merupakan perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006.

“Penyediaan bil terperinci hanya wajib dilaksanakan atas permintaan pesakit tanpa sebarang caj tambahan, bagi memudahkan pemahaman tentang butiran caj perkhidmatan, rawatan dan ubat-ubatan yang diterima,” menurut kenyataan itu. 

Mengulas lanjut, KKM yakin kerjasama yang baik dan berterusan antara semua pihak akan terus memperkasa kualiti perkhidmatan kesihatan serta menjaga kepentingan dan kebajikan pesakit secara bersama.

“Ini bertepatan dengan iltizam kerajaan dalam menerapkan nilai-nilai MADANI iaitu Kesejahteraan yakni memastikan semua pihak sama ada pesakit/pelanggan mahupun pihak perubatan swasta mendapat hak sama rata dalam semua perkara yang melibatkan aspek kesihatan secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

Pada Khamis lepas, media melaporkan pengamal perubatan am (GP) dan klinik pakar swasta diwajibkan mengeluarkan bil terperinci kepada pesakit sebagai langkah meningkatkan ketelusan melalui arahan pemaparan harga ubat yang berkuat kuasa pada 1 Mei lepas. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan