AM

KEMENANGAN DUA PASANGAN BEREGU SUNTIK SEMANGAT HADAPI KEJOHANAN AKAN DATANG - TPM

18/05/2025 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Kemenangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah pada Terbuka Thailand menjadi suntikan semangat buat mereka dalam menghadapi kejohanan besar yang akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengucapkan tahniah, juga berharap semua pemain dapat meneruskan perjuangan dan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Beliau berkata kedua-dua pasangan wakil negara itu mempamerkan aksi mantap serta bertenaga di Stadium Nimibutr, Bangkok dan ia satu pencapaian yang membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

"Syabas Malaysia! Kemenangan berganda! Saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atas kejayaan menjuarai Terbuka Thailand," katanya menerusi catatan di Facebook.

Aaron-Wooi Yik muncul juara selepas menewaskan gandingan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 20-22, 21-17, 21-12 dalam perlawanan yang berlangsung selama sejam.

Pearly-Thinaah pula menewaskan gandingan Korea Selatan Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 21-16, 21-17 dalam tempoh 58 minit sekali gus muncul sebagai beregu wanita pertama Malaysia menjuarai kejohanan itu sejak diperkenal pada 1984.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan