AM

TANAH RUNTUH DI GUA MUSANG: LALUAN UTAMA KINI BOLEH DILALUI - AHMAD ZAHID

19/05/2025 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Laluan utama ke Pos Simpor dan Pos Gob, Gua Musang yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada Sabtu, kini boleh dilalui semula oleh semua jenis kenderaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata laluan utama ke 26 buah kampung Orang Asli itu, telah dibersihkan dan kerja-kerja pembaikan awal sedang giat dijalankan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau mahu laporan berkala dikemukakan kepada kementeriannya, bagi memastikan pemantauan berterusan dan perancangan penyelesaian jangka panjang dapat diambil.

“Sebelum ini saya telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mengambil tindakan segera bersama agensi berkaitan, bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta memastikan laluan yang terjejas dapat dipulihkan secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata kejadian tanah runtuh yang dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan yang mengakibatkan hakisan di lereng-lereng bukit serta jalan utama itu menjejaskan lebih 2,000 penduduk.

Ahmad Zahid berkata berdasarkan siasatan JAKOA Negeri Kelantan, sebanyak 12 lokasi telah dikenal pasti mengalami hakisan dan kerosakan.

Justeru, beliau menyatakan komitmen Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan aksesibiliti masyarakat Orang Asli sentiasa terpelihara, khususnya dalam situasi bencana alam yang tidak dijangka seperti ini.

Beliau memberi jaminan bahawa kementeriannya akan memastikan tiada komuniti desa yang terpinggir daripada perhatian dan perlindungan kerajaan.

Semalam Bernama melaporkan lebih 3,000 penduduk Orang Asli di dua penempatan terputus hubungan dengan dunia luar, selepas laluan utama ke Pos Simpor dan Pos Gob tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada Sabtu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan