SHAH ALAM, 19 Mei (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menunggu laporan penuh agensi berkaitan dalam isu aliran air melalui tapak pembinaan Tanah Perkuburan Islam Paya Jaras, Sungai Buloh yang didakwa menyebabkan bau busuk pada Jumaat lepas.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya telah menghentikan kerja menambak di kawasan seluas empat hektar itu termasuk cerun buat sementara waktu, sehingga laporan serta siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca masalah berkenaan selesai.
“Kita (JAIS) hentikan dahulu kerja meluaskan kawasan di tapak perkuburan itu buat sementara waktu bagi memudahkan tindakan lanjut dibuat termasuk langkah pemulihan bersesuaian. Setakat ini, saya dimaklumkan laporan penuh dijangka siap dalam tempoh sebulan,” katanya.
Mohd Shahzihan berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Baucar Program Sumbangan Korban Negeri Selangor di Dewan Raja Musa di sini hari ini.
Beliau mengakui terdapat gangguan bau seperti aduan penduduk, namun keadaan masih terkawal dan tidak memberi kesan serius selain tiada laporan penduduk perlu menerima rawatan akibat insiden itu.
Pada 16 Mei, JAIS menerima aduan tentang bau kurang menyenangkan selain beberapa isu lain yang didakwa mengganggu keselesaan penduduk di sekitar tanah perkuburan itu.
-- BERNAMA