AM

PROGRAM "MALAYSIAN PRODUCT, JAPANESE TASTE" PLATFORM PERLUAS PASARAN PRODUK TEMPATAN

19/05/2025 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Program Malaysian Product, Japanese Taste yang berlangsung di Don Don Donki Malaysia sempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun 2025, menjadi platform kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa, terutama Jepun.

Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Rohaizi Bahari berkata program itu yang dilancarkan hari ini, akan mendorong syarikat tempatan menambah baik aspek kualiti produk, pembungkusan, persijilan, perlabelan makanan dan kapasiti pengeluaran.

“Ini merupakan hasil kerjasama strategik antara KPDN dan Don Don Donki Malaysia. Hari ini menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuh jati diri ekonomi negara melalui pemerkasaan produk tempatan.

“Inisiatif ini, melalui program Local 2 Global Retail akan mempamerkan produk Malaysia yang berkualiti dan berinovatif, dalam konsep persembahan berinspirasi daripada cita rasa Jepun,” katanya dalam ucapan pada program pelancaran Malaysian Product, Japanese Taste di cawangan Don Don Donki Mid Valley, hari ini. 

Rohaizi berkata program itu, melibatkan jualan produk lima syarikat dan jenama tempatan dengan sejumlah 281 bilangan unit simpanan stok (SKU) di empat cawangan Don Don Donki Malaysia iaitu Lot 10, Bukit Bintang; Mid Valley Megamall; Sunway Pyramid; dan NU Sentral.

“Program ini akan diperluas ke Jepun pada bulan Ogos tahun ini. Sebanyak 19 syarikat jenama Malaysia akan terlibat dengan 70 SKU, yang akan dipasarkan di tiga cawangan Don Don Donki di Jepun, iaitu Hokkaido; Tohoku dan Chubu serta Kyushu,” katanya.

Sementara itu, Rohaizi berkata melalui program Malaysian Product, Japanese Taste itu juga, menunjukkan bahawa pemain industri peruncitan antarabangsa juga menyokong usaha kerajaan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, serta memperluas pasaran syarikat tempatan ke peringkat global.

“Kewujudan Don Don Donki dengan lebih 50 cawangan di rantau Asia termasuk Jepun, Malaysia, Singapura, Hong Kong, Macau, Thailand dan Taiwan, adalah satu peluang strategik untuk usahawan tempatan menembusi pasaran luar negara katanya,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor perdagangan borong dan runcit, mencatat pertumbuhan positif dengan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia meningkat 5.1 peratus pada 2024 berbanding 2023, manakala nilai jualan borong dan runcit mencapai RM154.0 bilion pada Mac 2025. 

“Kejayaan pelaksanaan Program Local 2 Global Retail yang melibatkan empat rakan strategik pada tahun lepas di tiga negara iaitu Jepun, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), mencatatkan nilai jualan keseluruhan yang positif berjumlah RM532,159.90.

“Sementara, Inisiatif Pemerkasaan Produk Tempatan di Industri Peruncitan Tempatan dan Marketplace berjaya menjana jualan berjumlah hampir RM7.5 bilion menerusi penglibatan 20 rakan strategik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan