EKONOMI

PASARAN GETAH DITUTUP TINGGI SUSULAN TREND MENINGKAT NIAGA HADAPAN SERANTAU

19/05/2025 06:06 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi hari ini seiring dengan trend meningkat dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan disebabkan ringgit diniagakan rendah berbanding dolar US, kata seorang peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun melonjak pada Isnin berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China semakin reda walaupun peningkatan dihadkan oleh prospek bekalan yang lebih kukuh oleh pengeluar utama Thailand.

Pada 4.50 pm, ringgit merosot kepada 4.2935/4.2975 berbanding dolar US daripada 4.2900/2980 ketika ditutup pada Jumaat.

“Kenaikan selanjutnya dihadkan oleh kerugian dalam harga minyak mentah dalam persekitaran kebimbangan mengenai rundingan perdagangan AS-China dan jangkaan bahawa data ekonomi China akan menjadi lebih lemah,” kata peniaga itu kepada Bernama.

Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent merosot 0.79 peratus kepada US$64.92 setong.

Sementara itu, pada pukul 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (GMM 20) naik 5.5 sen kepada 764.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat 2.5 sen kepada 611.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan