AM

DBKL GIAT LAKSANA INTEGRASI AI DALAM PENGURUSAN BANDAR PINTAR

19/05/2025 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) giat melaksanakan integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai aspek pengurusan bandar pintar dengan dua inisiatif utama diketengahkan iaitu kembar digital dan pengurusan trafik berkuasa AI. 

Kementerian Digital menjelaskan inisiatif kembar digital adalah model maya bandar yang membolehkan simulasi masa nyata digunakan untuk perancangan bandar lebih efektif dan tindak balas kecemasan lebih pantas.

Pengurusan trafik berkuasa AI pula akan membolehkan sistem analitik masa nyata digunakan untuk mengoptimumkan aliran trafik dan mengesan insiden, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan jalan raya. 

“Penggunaan AI di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur kini memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pemodenan infrastruktur dan perkhidmatan bandar.

“Ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan bandar tetapi juga menyumbang secara langsung kepada peningkatan kualiti hidup warga kota,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Kementerian itu memaklumkan sebagai sebahagian inisiatif kementerian mempromosikan penerimagunaan teknologi digital termasuk AI dan 5G, Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong bersama pengurusan kanan kementerian dan agensi berkaitan hari ini turut mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC).

Dalam usaha memperkukuhkan lagi ekosistem bandar pintar negara, Smart City Expo Kuala Lumpur (SCEKL 2025) juga akan dianjurkan kementerian dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB) bermula 17 hingga 19 Sept ini.

“Ekspo ini bakal menjadi platform utama mempamerkan aspirasi dan pencapaian negara dalam pembangunan bandar pintar,” menurut kementerian itu.

Kementerian itu memaklumkan MDEC turut memberi komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembangunan bandar pintar dan transformasi digital melalui pelbagai inisiatif strategik, yang berfokuskan kepada teknologi masa hadapan seperti AI dan 5G.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan