KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci pagi ini akibat serangan jantung, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Beliau berkata Abdullah Mat, 59, dari Pasir Mas, Kelantan, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jiwar, Jabal Qamar, Makkah.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata Abdullah merupakan jemaah dari Maktab 89A yang menginap di Hotel Abraj al Janadriyah.
Mohd Na'im berkata sepanjang perjalanan haji, Allahyarham ditemani isterinya Sarifah Hassan.
Tabung Haji akan menguruskan pelaksanaan badal haji untuk Allahyarham serta menyempurnakan semua urusan berkaitan dengan sebaiknya, katanya.
-- BERNAMA