Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin, mencerminkan prestasi suram di seluruh Asia berikutan data ekonomi China yang lemah dan penurunan penarafan kredit berdaulat Amerika Syarikat baru-baru ini yang menjejaskan sentimen pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 15.61 mata atau 0.99 peratus kepada 1,556.14 daripada 1,571.75 semasa ditutup pada Jumaat.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 5.18 mata kepada 1,566.57 dan naik turun antara 1,550.93 dan 1,566.57 sepanjang sesi dagangan.
Dalam pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 889 berbanding 216, manakala 384 kaunter tidak berubah, 906 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.71 bilion unit bernilai RM2.27 bilion berbanding 2.91 bilion unit bernilai RM2.16 bilion pada Jumaat lepas.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng yakin penjualan besar-besaran itu memberi peluang kepada pembelian saham semasa harga rendah.
“Kami berpendapat ini adalah masa yang sesuai untuk mengumpul saham mewah yang menawarkan hasil dividen yang kukuh seperti bank dan utiliti sebagai pendekatan defensif yang lebih baik.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran itu akan bergerak dalam julat 1,550-1,580 bagi minggu ini,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata walaupun mengalami tekanan jualan, aktiviti dagangan kekal teguh.
Beliau berkata jumlah dagangan mencecah 3.7 bilion saham, tinggi sedikit berbanding purata, menunjukkan penyertaan pasaran secara asasnya kekal positif walaupun terdapat sentimen mengelakkan risiko.
“Kami kekal optimis namun berhati-hati. Walaupun mempunyai risiko dalam masa terdekat, kami berpendapat jualan besar-besaran hari ini bersifat sementara.
“Penurunan harga saham ini mungkin memberikan peluang pembelian taktikal kepada pelabur yang memburu saham berharga rendah terutamanya dalam sektor-sektor kukuh yang telah dijual tanpa pertimbangan yang rapi.
"Asas luaran Malaysia yang teguh dan aliran pelaburan langsung asing yang berterusan kekal sebagai tunjang kestabilan di tengah-tengah ketidaktentuan yang bertambah ini," kata Mohd Sedek kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM10.14, Public Bank susut satu sen kepada RM4.49, TNB rendah 10 sen kepada RM14.10, CIMB berkurangan 8.0 sen kepada RM7.10, CIMB susut 8.0 sen kepada RM7.10 dan IHH Healthcare menyusut 2.0 sen kepada RM6.99.
Bagi saham aktif, NexG dan Harvest Miracle tidak berubah, masing-masing pada 37.5 sen dan 18 sen. SFP Tech berkurangan 2.5 sen kepada 23 sen, Nationgate menyusut 8.0 sen kepada RM1.61, Tanco susut setengah sen kepada 94 sen, dan MYEG rendah 2.5 sen kepada 89.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 152.70 mata kepada 11,593.34, Indeks FBMT 100 susut 141.88 mata kepada 11,350.82, dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 186.19 mata kepada 11,487.99.
Indeks FBM 70 susut 316.70 mata kepada 16,385.71, dan Indeks FBM ACE berkurangan 118.92 mata kepada 4,646.94.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 128.65 mata kepada 18,359.0, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 3.18 mata kepada 156.50, Indeks Tenaga berkurangan 21.88 mata kepada 707.50, dan Indeks Perladangan rendah 59.50 mata kepada 7,326.09.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.46 bilion unit bernilai RM1.92 bilion berbanding 1.40 bilion unit bernilai RM1.90 bilion Jumaat lepas.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.81 bilion unit bernilai RM1.92 bilion daripada 1.09 bilion unit bernilai RM134.46 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 443.55 juta unit bernilai RM139.15 juta daripada 415.63 juta unit bernilai RM123.51 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 229.55 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (280.98 juta), pembinaan (95.28 juta), teknologi (251.63 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (62.22 juta), hartanah (190.16 juta), perladangan (17.54 juta), REIT (11.09 juta), dana tertutup (9,500), tenaga (126.91 juta), penjagaan kesihatan (57.96 juta), telekomunikasi dan media (50.32 juta), pengangkutan dan logistik (37.0 juta), utiliti (53.0 juta), dan amanah perniagaan (23,100).
-- BERNAMA