Oleh Siti Baaqiah Mamat
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Perhimpunan Antara Parlimen Interface ASEAN (ASEAN-AIPA Interface) ke-14 menyediakan platform strategik untuk menyelaraskan keutamaan serantau melalui tadbir urus inklusif yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
Pejabat Speaker Dewan Rakyat dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini memaklumkan penglibatan peringkat tertinggi ini lambang komitmen ASEAN untuk memperkukuh sinergi institusi antara cabang eksekutif dan legislatif di seluruh rantau berkenaan.
Acara yang dijadual berlangsung pada Isnin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bakal menjadi platform khas untuk dialog antara ketua negara dan kerajaan ASEAN serta speaker, timbalan speaker dan wakil ahli Parlimen AIPA.
“Acara itu juga akan mengukuhkan lagi persefahaman kolektif visi ASEAN untuk menjadi komuniti yang berpaksikan rakyat yang hanya boleh direalisasikan sepenuhnya dengan kerjasama dan pengawasan parlimen, memastikan pembangunan serantau berteraskan ketelusan serta akauntabiliti,” menurut kenyataan itu.
‘ASEAN-AIPA Interface’ bakal dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AIPA merangkap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul juga akan menyampaikan kenyataan AIPA pada acara ini.
Bertemakan “Parliament at the Forefront for Inclusive Growth and a Sustainable ASEAN”, acara ini juga akan menekankan kepentingan peranan institusi parlimen dalam memajukan agenda Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, berteraskan keterangkuman dan kemampanan.
Melalui tumpuan legislatif terhadap bidang kritikal, seperti keterjaminan makanan, peralihan tenaga yang saksama, tadbir urus digital dan daya tahan iklim, AIPA menyokong komitmen ASEAN dalam memastikan pembangunan bersifat inklusif dan mampan, tanpa meninggalkan mana-mana pihak tatkala rantau ini mengorak langkah ke hadapan.
Bersempena dengan persidangan itu, dua mesyuarat peringkat tinggi turut dijadualkan - Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.
Sidang Kemuncak ASEAN akan membuka tirai dengan mesyuarat pegawai kanan pada 23 Mei, diikuti mesyuarat menteri (25 Mei), dan mesyuarat ketua-ketua kerajaan (26 Mei).
Tema “Keterangkuman dan Kemampanan” telah diterima pakai sebagai asas penyatuan bagi penglibatan serantau serta global.
Komitmen Malaysia adalah untuk memperkukuh pemusatan ASEAN, memupuk kerjasama ekonomi dan memperjuangkan prinsip keterangkuman serta kemampanan.
-- BERNAMA