AM

PM ANWAR UCAP TAKZIAH ATAS PEMERGIAN BEKAS PRESIDEN VIETNAM

22/05/2025 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakyat Vietnam atas pemergian bekas presiden negara itu, Tran Duc Luong. 

Anwar dalam hantaran Facebook berkata Tran Duc Luong berkhidmat semasa era penting dalam sejarah Vietnam, memainkan peranan yang teguh bagi mendukung semangat reformasi Doi Moi. 

“Selaku Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya sebagai Presiden, beliau memainkan peranan yang teguh dalam memimpin negara melalui perubahan, memastikan kemajuan dicapai seiring dengan kestabilan dan hala tuju yang jelas.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada keluarganya dan rakyat Vietnam,” kata Anwar.

Tran Duc Luong meninggal dunia pada 10.51 malam Rabu di kediamannya di Hanoi pada usia 88 tahun.

Mendiang berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dari September 1992 hingga Ogos 1997 dan Presiden Republik Sosialis Vietnam dari September 1997 hingga Jun 2006.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan