KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin atas pemergian bonda kepada Tengku Permaisuri.
Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan keampunan dan rahmat-Nya ke atas roh Allahyarham Hajah Esah Tahar.
“Semoga seluruh keluarga diraja Selangor diberikan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” kata beliau dalam hantaran itu.
Allahyarham Esah menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun di sebuah hospital di Damansara pada 5.15 pagi tadi, kerana sakit tua.
Jenazah selamat dikebumikan di Makam Diraja, Shah Alam kira-kira 2.45 petang tadi.
-- BERNAMA