BALING, 9 Okt (Bernama) -- Sebanyak 2,560 saman dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 14,036 kenderaan sepanjang Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah bermula dari 1 Sept hingga 7 Okt lepas.
Pengarah JPJ Kedah Stein Van Lutam berkata antara kesalahan yang dikesan termasuklah cukai jalan dan insurans tamat tempoh, memandu di lorong kanan secara berterusan, memotong di garisan berkembar dan kesalahan teknikal kenderaan.
"Kesalahan ini merupakan antara faktor penyumbang utama kepada kemalangan maut membabitkan kenderaan perdagangan.
"Terdapat 139 kesalahan lebih muatan dikesan termasuklah lima kes membabitkan berat muatan melebihi 70 peratus daripada had dibenarkan," katanya kepada pemberita di Stesen Penguatkuasa JPJ Kuala Ketil dekat sini hari ini.
Beliau berkata tindakan pendakwaan akan diambil di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Jika disabit kesalahan, mahkamah boleh melucut hak kenderaan terlibat manakala pemandu serta pemilik boleh dikenakan denda berat selain tindakan terhadap lesen dan permit mereka.
"JPJ Kedah mengambil perhatian serius akan isu lebih muatan kerana masalah ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan jalan raya, tetapi juga menyebabkan kerosakan pada infrastruktur awam seperti jalan dan jambatan," katanya.
Stein Van berkata operasi berkenaan dilaksanakan secara berterusan di semua daerah dengan tumpuan di lokasi-lokasi strategik termasuk kawasan industri, lebuh raya dan jalan persekutuan utama.
“JPJ menyeru agar semua pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, cukai jalan dan insurans sah serta mematuhi had muatan dibenarkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 32 kenderaan mewah turut disita bermula dari Januari tahun ini, membabitkan pelbagai kesalahan antaranya menggunakan nombor pendaftaran palsu dan cukai jalan serta insurans tamat tempoh.
-- BERNAMA