KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- AEON Credit Service (M) Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM72.23 juta pada suku kedua berakhir 31 Ogos 2025 (S2 2025), berbanding RM71.16 juta pada S2 2024.
Perolehan meningkat 14.1 peratus tahun ke tahun kepada RM617.88 juta daripada RM541.43 juta sebelumnya, terutamanya didorong oleh pembiayaan yang lebih kukuh dan pertumbuhan pinjaman, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Jumlah pembiayaan kasar belum terimanya berjumlah RM15.15 bilion pada 31 Ogos, 2025, meningkat RM1.95 bilion daripada tahun sebelumnya.
“Jumlah pembiayaan bersih belum terimanya selepas peruntukan kekurangan bersih berjumlah RM14.29 bilion pada 31 Ogos 2025, berbanding dengan RM12.48 bilion tahun lepas, manakala nisbah pinjaman tidak berbayar meningkat kepada 2.49 peratus daripada 2.37 peratus sebelumnya.
“Perbelanjaan faedah pada S2 2025 adalah lebih tinggi berbanding S2 2024, terutamanya disebabkan oleh peningkatan pinjaman seiring dengan pertumbuhan belum terima. Nilai nominal pinjaman berjumlah RM11.53 bilion pada 31 Ogos 2025 berbanding RM10.17 bilion setahun sebelumnya,” katanya.
Menurut syarikat itu, jumlah urus niaga dan nilai pembiayaan bagi tempoh kewangan setakat ini meningkat 11.2 peratus tahun ke tahun kepada RM4.59 bilion.
Bagi separuh pertama 2025, keuntungan bersih AEON Credit Service merosot kepada RM149.78 juta daripada RM177.57 juta pada separuh pertama 2024, manakala perolehan meningkat kepada RM1.22 bilion daripada RM1.06 bilion sebelumnya.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia akan mengekalkan pendirian berhati-hati, berikutan ketidaktentuan tarif dan perdagangan global yang berterusan, ketegangan geopolitik, tekanan inflasi dan turun naik dalam pasaran kewangan.
Katanya, penekanan akan kekal kepada peningkatan aset berkualiti, memantau dengan teliti risiko kredit dalam portfolio pembiayaan, dan mengukuhkan keupayaan teknologi maklumat bagi menambah baik kecekapan operasi.
“Kumpulan itu juga akan membina ekosistem AEON Group of Companies di Malaysia untuk meluaskan jangkauan pelanggan,” tambahnya.
-- BERNAMA