KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Ekovest Bhd mendapat kelulusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melanjutkan lagi tarikh pelan keluar selama setahun di bawah perjanjian pemegang sahamnya mengenai cadangan penjualan 40 peratus kepentingan ekuiti dalam Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya lanjutan sehingga 12 Feb 2027 itu bertujuan untuk memudahkan dan melaksanakan pelan keluar bagi KWSP dan syarikat itu.
"Syarikat ini dan KWSP pada masa ini menilai pelbagai pilihan yang berdaya maju untuk melaksanakan pelan keluar atau sebarang rancangan alternatif untuk kepentingan terbaik pihak berkaitan," katanya.
Ekovest berkata pihaknya akan membuat pengumuman yang perlu sekiranya terdapat apa-apa perkembangan penting mengenai perkara itu.
-- BERNAMA
