AM

BANJIR KILAT: PPS DI PONTIAN DITUTUP

05/10/2025 04:03 PM

PONTIAN, 5 Okt (Bernama) -- Banjir kilat yang melanda lima kampung di daerah ini pulih sepenuhnya selepas satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak semalam ditutup petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya secara rasmi ditutup pada 2 petang tadi.

"Sebanyak 157 penduduk dari 46 keluarga ditempatkan di PPS setakat 12 tengah hari tadi," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri itu berkata hujan lebat berterusan dan penurunan air Gunung Pulai menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Kawasan yang terlibat adalah Kampung Melayu Raya, Kampung Paya Embun, Kampung Pak Kalib, Kampung Seri Menanti dan Kampung Maju Jaya.

Secara keseluruhan 159 penduduk daripada 46 keluarga ditempatkan di PPS  itu yang dibuka pada 6 pagi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan