KUANTAN, 13 Okt (Bernama) -- Seorang imam Masjid Sultan Abu Bakar, Janda Baik, yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lepas ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah resort di Sabak Bernam, Selangor, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Ahmad Zalmi Abdul Ghafar, 57, pada pukul 1.14 pagi tadi.
Beliau berkata keluarga mangsa berjaya mengesan keberadaannya di resort berkenaan sekitar pukul 12 tengah hari, namun mendapati lelaki itu sudah mendaftar keluar.
“Pada pukul 9.40 malam tadi, anak mangsa menghubungi Balai Polis Bukit Tinggi dan memaklumkan bahawa ayahnya sudah pulang ke rumah di Janda Baik dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, anaknya Muhammad Syafique Aimie Ahmad Zalmi, 37, ketika dihubungi Bernama berkata tujuan ayahnya pergi ke Sabak Bernam adalah untuk mencari pekerjaan.
“Ayah tidak memaklumkan kepada keluarga mengenai hasratnya untuk mencari kerja. Dia ke resort itu tanpa wang dan hanya membawa barang keperluan kerana mendakwa ada tawaran kerja kosong di kawasan berkenaan,”katanya.
Syafiq berkata mereka sekeluarga gagal menghubungi ayahnya kerana telefon bimbit lelaki itu rosak.
-- BERNAMA