KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Skuad badminton negara melangkah ke suku akhir Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2025 selaku juara Kumpulan C selepas menewaskan Australia 2-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Guwahati, India, hari ini.
Dalam perlawanan di Pusat Kecemerlangan Nasional itu, Malaysia mencatat kemenangan selesa 45-35, 45-14 di bawah format baharu kejohanan yang menggunakan sistem terbaik daripada tiga set, dengan setiap set dimainkan sehingga 45 mata.
“Skuad remaja negara mara ke suku akhir selaku juara Kumpulan C dan akan berdepan China esok,” menurut hantaran di laman rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Facebook.
Hanya pasukan yang menjuarai kumpulan masing-masing layak ke saingan suku akhir.
Pada edisi terdahulu di Nanchang, China, Malaysia membawa pulang pingat gangsa selepas terkandas di separuh akhir kepada tuan rumah.
— BERNAMA