KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Sebanyak 18 institusi perbankan mengesahkan penyertaan dalam Sandbox Fasa Kedua menerusi pelaksanaan integrasi MyDigital ID dalam sektor kewangan secara berperingkat dan tersusun, selari dengan amalan terbaik antarabangsa.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata Sandbox Fasa Kedua kini sedang dilaksanakan untuk menguji teknologi MyDigital ID yang baharu iaitu e-pengesahan yang merupakan mekanisme pengesahan identiti pengguna semasa membuka akaun baharu dan menjalankan urus niaga perbankan secara selamat dalam masa nyata.
Kata kementerian itu, kerajaan melalui MyDigital ID Sdn Bhd (MyDID) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bertanggungjawab dalam melaksanakan integrasi MyDigital ID yang berasaskan keselamatan secara reka bentuk, pemeliharaan privasi dan tadbir urus yang boleh diaudit bagi memastikan sistem yang kukuh, diyakini serta bersedia untuk pelaksanaan.
“Sebanyak 10 daripada 18 institusi perbankan ini sedang menjalani proses integrasi manakala dua institusi perbankan sudah melengkapkan proses integrasi.
“Sandbox Fasa Kedua ini dijangka berakhir pada Mac, 2026 dan bersedia untuk memasuki fasa pelaksanaan secara lebih meluas tertakluk kepada keputusan serta kesiapsiagaan institusi perbankan yang berkenaan,” kata MOF menerusi jawapan bertulis yang dikeluarkan dalam laman sesawang rasmi Parlimen hari ini.
MOF menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berkenaan kesediaan bank dan penyedia kewangan untuk integrasi MyDigital ID dari segi pensijilan keselamatan, pematuhan data peribadi dan piawaian audit.
Kementerian itu berkata sebanyak 15 buah institusi perbankan menyertai Sandbox Fasa Pertama dengan enam buah institusi perbankan berjaya melaksanakan integrasi dan lapan pengujian pengesahan identiti pengguna secara digital (e-KYC).
Sandbox Fasa Pertama ini dimuktamadkan pada Jun, 2025.
E-KYC merupakan proses pengesahan identiti pelanggan bagi pencegahan penipuan.
MOF menegaskan kerajaan melalui BNM perlu memastikan tahap kesiapsiagaan semua bank dan pemberi perkhidmatan kewangan berada pada tahap keselamatan yang tinggi sebelum pengintegrasian MyDigital ID dapat dilaksanakan sepenuhnya.
-- BERNAMA
