KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap Belanjawan 2026 akan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D), ekosistem syarikat pemula serta pembudayaan sains di negara ini.
Menteri berkenaan Chang Lih Kang berkata ketiga-tiga aspek merupakan tonggak utama MOSTI dalam memastikan kemajuan sektor sains, teknologi dan inovasi terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata pelaburan dalam R&D perlu diteruskan secara konsisten bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemah kepada penemuan teknologi baharu yang memberi manfaat kepada rakyat dan industri.
“Kalau kita tengok negara lain seperti Korea, mereka melaburkan kira-kira 4.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam R&D... sebab itu, mereka jauh ke hadapan berbanding kita... Malaysia kini sekitar satu peratus sahaja dan saiz KDNK kita pun tidak sebesar mereka.
“Jadi, pelaburan dalam R&D ini berkait rapat dengan kemajuan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bioxceed 2025 yang diadakan sempena Ekspo Inovasi dan Pengkomersilan Kebangsaan (NICE 2025) di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Chang juga berkata terdapat keperluan untuk memastikan peruntukan R&D disalurkan secara berterusan dan tidak bersifat sementara bagi membolehkan MOSTI merancang strategi jangka panjang.
Mengulas mengenai kecerdasan buatan (AI), beliau berkata MOSTI melihatnya sebagai sebahagian daripada tumpuan keseluruhan terhadap teknologi baharu dan penyelidikan.
Bioxceed 2025 merupakan satu inisiatif kerjasama antara Bioeconomy Corporation dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) bagi meneroka penyelesaian praktikal untuk membawa produk serta teknologi tempatan ke arah pengkomersialan selain berupaya menembusi pasaran global.
Kerjasama kedua-dua pihak juga bertujuan memperkukuh ekosistem bioteknologi negara.
-- BERNAMA