IPOH, 9 Okt (Bernama) -- Kadar kebutaan bagi rakyat Malaysia berusia 50 tahun ke atas merekodkan penurunan ketara, iaitu daripada 1.5 peratus pada 2014 kepada 0.7 peratus tahun ini.
Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata data itu direkodkan hasil Tinjauan Mata Kebangsaan Keempat 2025 yang dilaksanakan di Zon Utara meliputi Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
"Ternyata, segala program yang diusahakan berkesan dan berjaya mengurangkan bebanan kes katarak antaranya Klinik Katarak KKM yang wujud sejak 2013, sebagai komitmen untuk mencegah kebutaan akibat katarak dengan memberikan tumpuan kepada saringan dan rawatan, khususnya di kawasan pedalaman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2025 yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Perak Dr Feisul Idzwan Mustapha di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Mohd Azman berkata komplikasi diabetes pada mata, iaitu penyakit diabetik retinopati ialah ancaman kebutaan utama yang semakin meningkat pada masa kini.
Beliau berkata keputusan Tinjauan Mata Kebangsaan Keempat 2025 menunjukkan diabetik retinopati ialah penyebab kebutaan sebanyak 13 peratus di Zon Utara.
"Justeru, kerjasama antara disiplin oftalmologi dan kesihatan awam amat penting untuk memastikan pengesanan awal diabetik retinopati dapat dijalankan untuk semua pesakit diabetes.
"Langkah ini bagi memastikan rujukan awal ke pakar oftalmologi untuk kes sight-threatening diabetic retinopathy agar mendapatkan rawatan segera bagi mengurangkan komplikasi kebutaan," katanya.
-- BERNAMA