AM

YAYASAN MAHIR HARAP KERAJAAN TAMBAH DANA PTPK DALAM BELANJAWAN 2026

09/10/2025 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Yayasan Mahir Malaysia berharap kerajaan menambah peruntukan bagi dana pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Presidennya Datuk P. Sri Ganes berkata suntikan dana tambahan itu amat penting bagi memastikan sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030 dapat dicapai.

“Peruntukan RM500 juta yang diumumkan sebelum ini habis diagihkan seawal Ogos, sekali gus menunjukkan dana sedia ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penambahan dana perlu dipertimbangkan Kementerian Kewangan kerana ia akan memberi kesan langsung terhadap kesinambungan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Dalam masa sama, Sri Ganes menyifatkan langkah PTPK mengkaji semula kriteria pinjaman sebagai bukti kesungguhan kerajaan memperkukuh tadbir urus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan memastikan setiap peruntukan tambahan diurus secara berhemat.

“Pendekatan baharu dengan keutamaan kepada program berimpak tinggi, penarafan bintang dan prestasi bayaran balik menunjukkan kesiapsiagaan TVET untuk menerima dana lebih besar,” katanya.

Beliau juga menolak dakwaan pembiayaan PTPK telah dihentikan, sambil menjelaskan bahawa kerajaan sebenarnya menggalakkan institusi TVET swasta meningkatkan daya saing serta menawarkan program berimpak tinggi yang diperlukan industri.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan