EKONOMI

USAHA PERKUKUH EKONOMI, KESEJAHTERAAN RAKYAT TERUS JADI KEUTAMAAN KERAJAAN MADANI -- ANWAR

09/10/2025 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha memperkukuh ekonomi dan menjaga kesejahteraan rakyat akan terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI dalam Belanjawan 2026.

Menerusi hantaran di media sosial, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau meluangkan sedikit masa hari ini meninjau persiapan akhir pembentangan Belanjawan MADANI Keempat di Kementerian Kewangan. 

Selain itu Perdana Menteri turut berkesempatan beramah mesra dengan warga kementerian serta menandatangani beberapa dokumen penting berkaitan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan beliau esok (Jumaat) di Dewan Rakyat.

Terdahulu hari ini, Anwar memberikan taklimat berkaitan belanjawan kepada editor media di kementerian berkenaan di Putrajaya. 

Beliau berkata, Belanjawan MADANI 2026 bukan sekadar dokumen kewangan tahunan, tetapi cerminan keutamaan kerajaan dan hala tuju negara bagi tahun mendatang. 

Tahun lepas, Kerajaan MADANI membentangkan belanjawan tertinggi dalam sejarah negara berjumlah RM421 bilion, yang merangkumi RM335 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM86 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, bersamaan dengan 20.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan