DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI MENJELANG PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2026 ESOK

09/10/2025 06:18 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Khamis apabila pelabur menunjukkan keyakinan menjelang pembentangan Belanjawan 2026, kata penganalisis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen esok.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.17 mata atau 0.13 peratus kepada 1,629.67 daripada 1,627.50 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.37 mata lebih tinggi kepada 1,628.87 dan bergerak antara 1,626.67 hingga 1,632.53 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 743 berbanding 391, manakala 493 kaunter tidak berubah, 975 kaunter tidak didagangkan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 4.74 bilion unit bernilai RM3.62 bilion daripada 3.66 bilion unit bernilai RM2.72 bilion pada Rabu.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata lingkungan pasaran yang bertambah baik mencerminkan minat risiko yang lebih konstruktif dan peralihan beransur-ansur pegangan pelabur kepada sektor yang melibatkan pemulihan kitaran.

“FBM70 mencatatkan lantunan kukuh, menandakan kaunter bermodal sederhana merekodkan prestasi yang sangat baik, satu corak yang lazimnya berlaku ketika pasaran menjangkakan dasar fiskal berorientasi pertumbuhan. Corak ini berfungsi sebagai petunjuk bagi sentimen pelabur domestik menjelang pengumuman belanjawan negara.

“Kekukuhan yang dicatatkan saham bermodal sederhana menandakan pelabur sedang membuat persediaan pegangan untuk kerangka fiskal yang memperkukuh permintaan domestik, merangsang pelaburan swasta dan menyokong trajektori pertumbuhan Malaysia bagi jangka masa sederhana,” katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM10 dan RM8.10, Public Bank susut lima sen kepada RM4.29, CIMB merosot sembilan sen kepada RM7.57, manakala Tenaga Nasional meningkat lapan sen kepada RM13.28.

Antara saham paling aktif, Top Glove meningkat sembilan sen kepada 67 sen, Borneo Oil dan Tanco masing-masing kekal pada setengah sen dan 85 sen, manakala Land & General serta Zetrix AI masing-masing menokok 1.5 sen kepada 18 sen dan 85 sen.

Kaunter paling untung antaranya Malaysian Pacific Industries dan Ajinomoto yang masing-masing melonjak 34 sen kepada RM31.16 dan RM13.98, Malayan Cement menambah 30 sen kepada RM7.08, Nestle dan Hong Leong Industries masing-masing menokok 26 sen kepada RM99.56 dan RM14.28.

Kaunter paling rugi pula antaranya Bintulu Port dan Petronas Dagangan yang masing-masing susut 30 sen kepada RM5.50 dan RM22.70; Fraser and Neave turun 28 sen kepada RM28.10 dan LPI menguncup 10 sen kepada RM14.38.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 66.75 mata kepada 12,181.35, Indeks FBM 100 menambah 61.80 mata kepada 11,907.70, dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 125.56 mata kepada 12,246.11.

Indeks FBM 70 melonjak 288.59 mata kepada 17,253.60 manakala Indeks FBM ACE naik 22.10 mata kepada 5,291.13.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.34 mata kepada 174.86, Indeks Perladangan meningkat 73.97 mata kepada 7,904.45, dan Indeks Tenaga menambah 2.93 mata kepada 794.96, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 75.48 mata kepada 18,452.85.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.18 bilion unit bernilai RM3.13 bilion daripada 1.74 bilion unit bernilai RM2.34 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.99 bilion unit bernilai RM280.05 juta daripada 1.51 bilion unit bernilai RM206.67 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula sebanyak 579.29 juta saham bernilai RM207.97 juta berbanding 411.47 juta saham bernilai RM167.37 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 394.05 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (365.50 juta), pembinaan (109.66 juta), teknologi (317.78 juta), perkhidmatan kewangan (69.89 juta), hartanah (236.22 juta), perladangan (37.04 juta), REIT (42.27 juta), dana tertutup (146,200), tenaga (163.12 juta), penjagaan kesihatan (313.07 juta), telekomunikasi dan media (36.66 juta), pengangkutan dan logistik (36.75 juta), utiliti (53.38 juta) serta amanah perniagaan (23,600).

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan