JENAYAH & MAHKAMAH

SAMAN ALTANTUYA: MAHKAMAH TANGGUH KEPUTUSAN RAYUAN KERAJAAN DAN RAZAK BAGINDA

09/10/2025 06:44 PM

PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Mahkamah Rayuan menangguhkan penghakiman ke atas rayuan kerajaan Malaysia dan penganalisis politik Abdul Razak Baginda terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan saman keluarga model Altantuya Shaariibuu berhubung kematiannya pada 2006.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hashim Hamzah menangguhkan keputusan selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Nik Mohd Noor Nik Kar yang mewakili kerajaan, peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au mewakili Abdul Razak dan peguam Sangeet Kaur Deo bagi keluarga Altantuya.

"Kami tidak akan menyampaikan keputusan hari ini. Kami memerlukan masa untuk berbincang dan menetapkan 27 Okt untuk pengurusan kes," kata Hamzah yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan K. Muniandy.

Pada 16 Dis 2022, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membenarkan saman difailkan keluarga model itu dan memerintahkan bekas pegawai polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak dan kerajaan untuk bersama-sama membayar ganti rugi am, teruk dan teladan berjumlah RM5 juta kepada keluarga itu.

Defendan turut diperintahkan membayar faedah sebanyak lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman, yang dikira dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh, serta memerintahkan membayar kos RM25,000 seorang.

Terdahulu Nik Mohd Noor berhujah bahawa jumlah ganti rugi RM5 juta yang diberikan hakim Mahkamah Tinggi terlampau tinggi dan pihaknya mencadangkan agar Mahkamah Rayuan memberikan ganti rugi berjumlah RM1,384,000 sebagai jumlah yang munasabah.

Nik Mohd Noor berkata hakim bicara tersalah arah apabila tidak membezakan liabiliti peribadi setiap responden semasa memberikan ganti rugi sebaliknya memberikan ganti rugi secara global berjumlah RM5 juta kepada kesemua responden.

Gurdial berhujah bahawa tiada bukti langsung yang menunjukkan responden ketiga, Abdul Razak telah mengarahkan responden pertama dan kedua, Azilah dan Sirul untuk membunuh Altantuya.

Abraham juga berhujah bahawa ganti rugi RM5 juta yang diberikan adalah tidak wajar. 

“Jika perkiraan kerugian pendapatan diambil kira daripada dakwaan gaji bulanan Altantuya RM6,000, jumlah itu secara kasar bernilai RM1.5 juta, lebih rendah berbanding RM5 juta yang diberikan. Tiada asas undang-undang bagi hakim Mahkamah Tinggi untuk memberikan jumlah sedemikian,” kata Abraham. 

Sementara itu, Sangeet berhujah bahawa hakim bicara adalah benar dalam memberikan ganti rugi RM5 juta berdasarkan budi bicaranya.

“Sudah menjadi undang-undang bahawa mahkamah rayuan tidak campur tangan dalam kuasa budi bicara. Ini bukan isu untuk campur tangan perayu. Saya meminta mahkamah ini tidak mengganggu dapatan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa, serta cucu mereka, Mungunshagai Bayarjargal, memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007 terhadap kerajaan Malaysia, Azilah, Sirul dan Abdul Razak, menyatakan kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi yang melayakkan mereka menerima ganti rugi teladan dan teruk.

Azilah dan Sirul disabitkan pada 2009 kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokan harinya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-dua lelaki itu manakala Abdul Razak dibebaskan daripada bersubahat dengan pembunuhan itu.

Atas rayuan, kedua-dua Azilah dan Sirul telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 namun pada 2015, Mahkamah Persekutuan membatalkan pembebasan mereka dan mengesahkan sabitan dan hukuman mati.

Sirul  tidak hadir ke mahkamah pada 2015 untuk keputusan Mahkamah Persekutuan. Dia dipercayai berada di Australia, bagaimanapun, pada 10 Okt tahun lepas, Mahkamah Persekutuan meringankan hukuman mati Azilah kepada 40 tahun penjara susulan permohonan semakan. Dia juga dijatuhkan hukuman 12 sebatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan