KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) bersama pengurus dana PHB Asset Management Bhd (PHBAM) hari ini mengumumkan agihan pendapatan akhir sebanyak 2.10 sen seunit bagi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Sept 2025.
Syarikat pegangan pelaburan hartanah itu turut mengisytiharkan agihan bonus 0.40 sen seunit yang terhad kepada satu juta unit pertama bagi setiap pemegang unit, menjadikan jumlah keseluruhan agihan pendapatan akhir sebanyak 2.50 sen seunit.
Pengarah Urusan kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB Mohamad Damshal Awang Damit berkata syarikat mengekalkan portfolio hartanah yang kukuh dan seimbang untuk memberi pulangan mampan serta mengurus risiko pasaran hartanah selaras dengan penetapan aset strategik.
“Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, kami menyasarkan dedahan meluas dalam sektor berpotensi tinggi termasuk Kedah, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak menerusi pendekatan pengurusan portfolio berdisiplin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dengan mengambil kira agihan pendapatan interim sebanyak 2.50 sen seunit yang diumumkan pada April 2025, jumlah keseluruhan agihan pendapatan AHB bagi tahun kewangan 2025 adalah 5.00 sen seunit.
Bagi enam bulan berakhir 30 Sept 2025, sebanyak RM118.7 juta diagihkan, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran agihan tahun ini sebanyak RM235 juta yang memberi manfaat kepada lebih 82,000 pemegang unit.
Agihan pendapatan akan dibayar secara tunai atau dalam bentuk unit AHB (bagi pemegang unit yang memiliki kurang daripada 10,000 unit) dan dikreditkan terus ke akaun bank berdaftar atau akaun AHB masing-masing pada 14 Okt 2025.
-- BERNAMA