AM

JKMR BERPERANAN BANTU TINGKATKAN IMEJ SPRM

09/10/2025 09:05 PM

PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) - Anggota Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKmR) diminta untuk diperkemaskan dengan maklumat terkini berkaitan rasuah daripada agensi dalam atau luar negara bertujuan untuk memastikan fungsi JKmR dapat dilaksanakan sepenuhnya demi meningkatkan imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi JKmR, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, maklumat terkini itu boleh dijadikan rujukan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah sebagaimana terkandung dalam Terma Rujukan Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah. 

“Saya yakin kita semua yang dilantik sebagai anggota JKmR mempunyai kapasiti dan latar belakang masing-masing untuk mendapatkan input-input terkini berkaitan isu rasuah,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat JKmR Bil.3 Tahun 2025 di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Terdahulu, anggota JKmR telah dibawa melawat sekitar bangunan Ibu Pejabat SPRM termasuk konti radio MACCfm, bilik temu bual bervideo (VIR), lokap dan makmal forensik digital SPRM bagi memberikan gambaran sebenar kepada anggota Jawatankuasa Khas terhadap pelaksanaan tugas pegawai SPRM di lapangan, terutamanya bagi aktiviti pencegahan rasuah serta pengumpulan keterangan-keterangan yang boleh digunakan bagi suatu perbicaraan kes rasuah.

Jawatankuasa Khas ini diwujudkan secara perundangan selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694). Anggota-anggota JKmR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan ahli-ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang dinamakan oleh Ketua Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Turut hadir YB Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; Dato’ Haji Mohd Suhaimi Abdullah; Mohd Shafizan Hj Kepli; Young Syefura Othman; Datuk Lo Su Fui dan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan