KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pengumuman mengenai jaminan pembiayaan, insentif keusahawanan dan program pendigitalan untuk perusahaan kecil dalam Belanjawan 2026 akan membolehkan mereka meningkatkan skala operasi dan memperkukuh daya tahan, menurut bank.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata sokongan kerajaan yang berterusan diperkukuhkan lagi dengan peningkatan jaminan kerajaan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk pembiayaan rumah dan pembiayaan perniagaan.
“Langkah ini selaras dengan komitmen RHB untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan dan sokongan nasihat untuk perniagaan yang dipacu pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Bhd Tan Sri Tay Ah Lek berkata pihaknya mengalu-alukan tumpuan berterusan kerajaan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan memperuntukkan lebih RM20 bilion untuk pembiayaan dan jaminan.
Katanya bank tersebut menyokong sepenuhnya usaha kerajaan membina legasi negara untuk memulihara alam sekitar pada masa depan.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM3 bilion kepada Skim Pembiayaan Teknologi Hijau bagi menggalakkan pelaburan swasta dalam tenaga solar, hidrogen dan biotenaga manakala Takrif Tenaga Hijau akan diperluas membolehkan pembeli korporat memperoleh tenaga boleh baharu yang diperakui.
-- BERNAMA