AM

LEBIH 36,000 PENCARI KERJA DAPAT PEKERJAAN MELALUI PORTAL 'MYFUTUREJOBS'

11/10/2025 06:43 PM

KOTA BHARU, 11 Okt (Bernama) -- Sebanyak 36,330 daripada 161,000 pencari kerja yang berdaftar melalui portal MYFutureJobs sejak 2022 di Kelantan berjaya memperoleh pekerjaan tetap atau sementara.

Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Asri Ab Rahman berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan usaha berterusan agensi berkenaan dalam memperkukuh pasaran buruh serta menyediakan platform padanan kerja yang efisien kepada rakyat.

“Ini menunjukkan trend positif dan keberkesanan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Perkeso, khususnya melalui portal MYFutureJobs yang bukan sahaja mempertemukan majikan dan pencari kerja tetapi turut memberi bimbingan serta perlindungan sosial kepada mereka,” katanya selepas majlis perasmian Karnival Kerjaya MYFutureJobs di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 21 majikan daripada pelbagai sektor menyertai karnival itu, dengan menawarkan lebih 5,300 kekosongan jawatan merangkumi bidang perkhidmatan, pembuatan, perladangan, logistik serta sektor awam dan keselamatan.

Antara majikan utama yang turut serta ialah Air Kelantan Sendirian Berhad, Pos Malaysia Berhad, Liquid Palm Edible Sendirian Berhad, Top Glove Corporation Berhad dan Tentera Darat Malaysia, yang menawarkan pelbagai jawatan tetap dan sementara dengan pakej gaji kompetitif.

Asri berkata antara jawatan dengan tawaran gaji tertinggi ialah doktor gigi, dengan julat antara RM10,000 hingga RM12,999, selain pelbagai jawatan profesional, teknikal dan sokongan yang terbuka kepada semua lapisan pencari kerja.

“Melalui inisiatif Perkeso Lindung Anok Kelate, kami ingin menegaskan setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang atau jenis pekerjaan, wajar dilindungi, dibimbing dan diberi peluang untuk maju dalam kerjaya masing-masing,” katanya.

Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian sumbangan Program Cakna Prihatin Perkeso - SSM, hasil kerjasama strategik antara Perkeso dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Melalui sumbangan zakat korporat dan tanggungjawab sosial korporat bernilai RM148,783.90, sebanyak 20 penerima dari Kelantan menerima bantuan peralatan keusahawanan serta perlindungan sosial di bawah inisiatif Lindung Kendiri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan