JENAYAH & MAHKAMAH

EMPAT LELAKI DITAHAN KERANA MERUSUH

12/10/2025 09:33 PM

KLUANG, 12 Okt (Bernama) -- Empat lelaki tempatan ditahan kerana merusuh hingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, di sebuah gelanggang bola keranjang di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata pihaknya menerima laporan daripada berkaitan kejadian pada 11.15 pagi, yang mendakwa dirinya telah diserang beberapa individu tidak dikenali pada Jumaat sekitar 11 malam.

“Bertindak atas maklumat, hari ini (12 Okt) sekitar 1.30 tengah hari, empat suspek  berusia lingkungan 19 hingga 21 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan hasil semakan dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

“Daripada ujian air kencing pula, kesemua suspek adalah negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, video berkaitan kejadian berdurasi 45 saat itu telah tular di media sosial.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan