NILAI, 12 Okt (Bernama) -- Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), pengeluar motosikal nasional yang juga pemasang tempatan jenama motosikal Kawasaki dari Jepun, bekerjasama dengan Sendayan Motor Sdn Bhd bagi pembukaan pusat Kawasaki All Star 4S (Jualan, Alat Ganti, Pameran dan Servis) di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Roslan Roskan berkata sejak penubuhannya, Modenas telah melaksanakan misi membangunkan industri motosikal Malaysia dengan menyediakan penyelesaian mobiliti yang diyakini, mampu milik serta inovatif kepada jutaan pengguna.
Beliau berkata kerjasama dengan Kawasaki juga telah menambah dimensi baharu, membawa bersama teknologi canggih, jentera berprestasi tinggi serta semangat jenama global untuk penunggang tempatan.
“Menerusi penyertaan Nilai dalam keluarga Kawasaki All Star, kami mencatat pencapaian menerusi sepuluh pembukaan strategik di serata Malaysia. Setiap cawangan itu misalnya lebih daripada sekadar sebuah titik jualan -- ini adalah pusat yang mana penunggang menyelami jenama, khidmat pasca jualan pula membina keyakinan dan gaya hidup Kawasaki berkembang.
“Pengembangan ini membuktikan permintaan bagi Kawasaki kian kukuh dan tanggung jawab kami adalah untuk memenuhinya dengan kecemerlangan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian itu.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan J. Arul Kumar serta turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Pemasaran Modenas Hitoshi Inoue dan Pengarah Sendayan Motor Sdn Bhd David Goh Lim Jia.
Roslan juga menyifatkan pengembangan rangkaian Kawasaki All Star di serata negara juga sebagai membuktikan peningkatan permintaan terhadap jenama Kawasaki, sekali gus memaparkan keyakinan teguh kalangan penunggang Malaysia.
“Hari ini misalnya lebih bermakna apabila cawangan baharu ini diuruskan oleh Sendayan Motor Sdn Bhd, sebuah syarikat yang bertapak di Negeri Sembilan sejak 1976. Kami bukan sahaja mewujudkan peluang perniagaan, malahan mengukuhkan ekonomi tempatan, mencipta peluang pekerjaan serta memberi perkhidmatan kepada para penunggang,” katanya.
Sementara itu, Arul Kumar berkata lokasi strategik Nilai yang berhampiran dengan Lembah Klang, Melaka dan Johor, memberi kelebihan besar kepada cawangan baharu berkenaan dan turut menjadikannya sebagai pemangkin untuk pertumbuhan industri automotif di rantau ini.
Modenas adalah 70 peratus dimiliki oleh DRB-Hicom manakala baki 30 peratus dipegang oleh Kawasaki Heavy Industries, Jepun.
-- BERNAMA