BANGI, 12 Okt (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) dinobatkan sebagai juara Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2025, yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 Okt.
Pasukan UM yang diwakili Azhad Hafiz Md Razip Han, Muhammad Ammar Akrimi Azman, Khairul Nur Ayuni Rodzan Khairull dan Nur Amirah Syahirah Khairul Shakir, muncul juara selepas menewaskan pasukan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di pentas akhir.
Pasukan UPNM yang muncul naib johan itu diwakili Abdul Azim Azmi, Mohamad Marzuhaime Marzuki, Muhammad Idham Hafizie Zainuddin dan Sanjeevkumar Mahendran.
Sebagai juara, UM membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM14,000, trofi serta sijil, sementara UPNM menerima RM8,000, trofi dan sijil, namun kekalahan UPNM sedikit terubat apabila pendebat mereka Muhammad Idham Hafizie muncul Pendebat Terbaik Akhir, yang turut membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.
Pertandingan yang bertemakan “Idealis Berintegriti, Pemacu Negara Madani” itu merupakan kesinambungan usaha SPRM dalam memperkukuh pendidikan pencegahan rasuah melalui pendekatan lebih segar dan inklusif kepada generasi muda, khususnya mahasiswa IPT.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata tema tahun ini menggambarkan aspirasi SPRM untuk melahirkan generasi muda yang berpegang teguh kepada nilai integriti, sekali gus menjadi pemacu kepada pembentukan masyarakat MADANI bebas rasuah.
“Melalui penganjuran ini, SPRM mahu memperkukuh pendekatan pendidikan antirasuah dengan membina minda kritikal serta menanam nilai integriti dalam kalangan mahasiswa, agar mereka menjadi ejen perubahan pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan perasmian penutup pertandingan itu di Univerisiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.
Sebanyak 40 pasukan menyertai pertandingan kali ini, yang terdiri daripada wakil universiti awam dan swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG), Institusi Pendidikan MARA (IPMa) serta politeknik dari seluruh negara.
Pertandingan tahunan anjuran SPRM itu, turut mendapat kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
-- BERNAMA