EKONOMI

PELAN PEMBANGUNAN SEMULA LAPANGAN TERBANG SUBANG SEIRING DENGAN ASPIRASI BELANJAWAN 2026

12/10/2025 06:43 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) mesti dilaksanakan secara strategik, disertai infrastruktur sokongan dan ketersambungan pengangkutan awam, kata Institut Pengangkutan Malaysia (MiTRANS).

Ia berkata pelaksanaan strategik sedemikian akan memastikan kemampanan jangka panjang, sejajar dengan aspirasi Belanjawan 2026 untuk meletakkan Malaysia sebagai hab aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara menjelang 2030.

Pengarah MiTRANS dan pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Wan Mazlina Wan Mohamed berkata pembangunan itu perlu merangkumi penambahbaikan akses antara kawasan Subang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan bandar-bandar utama lain bagi meningkatkan mobiliti penumpang dan pekerja.

“Pada masa ini, perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter dari Subang Skypark ke KL Sentral telah dihentikan dan tiada laluan transit aliran ringan (LRT) atau transit aliran massa (MRT) melalui kawasan itu, menekankan keperluan untuk menaik taraf perkhidmatan dan infrastruktur pengangkutan awam,” katanya kepada Bernama sebagai respons kepada Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Dalam ucapan Belanjawan 2026, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Lapangan Terbang Subang dan kawasan sekitarnya berada pada kedudukan yang strategik untuk menyokong industri aeroangkasa.

Perdana Menteri berkata projek pembesaran lapangan terbang dan pembangunan sekitar perlu diterajui kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan kepentingan negara dan penyertaan Bumiputera diutamakan.

Wan Mazlina berkata SARP direka bentuk sebagai ekosistem komprehensif merangkumi perniagaan dan penerbangan komersial, perkhidmatan helikopter, aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), logistik kargo udara dan pembuatan aeroangkasa.

“Pembangunan itu dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan di sekitar Subang. Bagaimanapun, pihak berkepentingan menggesa kerajaan menangani cabaran sedia ada seperti kesesakan lalu lintas, pembangunan bandar pesat dan keperluan untuk mengekalkan bakat tempatan yang mahir dalam sektor strategik ini.

"Sekiranya pemain antarabangsa mahu memulakan operasi mereka di Subang, mesti ada perlindungan untuk memastikan mereka menyumbang kepada membina keupayaan tempatan, bukannya sekadar menawarkan gaji lebih tinggi dan menarik bakat tempatan," katanya.

Wan Mazlina berkata bahawa Subang juga telah dicadangkan sebagai hab masa depan untuk Advanced Air Mobility (AAM) termasuk teksi dan ambulans udara, ia akan menyokong dengan ketara sektor pelancongan perubatan Malaysia yang semakin berkembang khususnya dari Singapura, Indonesia dan Timur Tengah.

“Kehadiran beberapa universiti seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Institut Teknologi Penerbangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT), UiTM, Taylor’s University, Monash University Malaysia, INTI, Management and Science University (MSU) dan Sunway University di sekitar Subang memberikan peluang kukuh untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) aeroangkasa dan rancangan pembangunan bakat bagi memenuhi permintaan industri masa depan,” katanya.

Wan Mazlina menegaskan bahawa disebabkan jarak Subang dengan Kuala Lumpur dan populariti Malaysia semakin meningkat sebagai destinasi pelancongan perubatan dalam kalangan pelancong dari Singapura, Indonesia dan Timur Tengah, kawasan itu mempunyai potensi strategik yang kukuh.

“Ia boleh dibangunkan sebagai hab teksi udara dan ambulans udara untuk membawa pesakit dan penjaga mereka dari negara jiran ke hospital terkemuka di Lembah Klang,” tambahnya.

 

LRT3 Pertingkat Keselamatan dan Ketersambungan

Wan Mazlina berkata LRT Laluan Shah Alam (LRT3) dilihat sebagai inisiatif utama yang meningkatkan mobiliti bandar yang lebih selamat dan mampan.

“Jajaran 37.8 kilometer dari Bandar Utama ke Johan Setia di Klang dijangka mula beroperasi pada penghujung 2025 dengan kapasiti lebih 6,200 penumpang sejam bagi setiap arah.

“Selain menghubungkan kawasan perumahan ke pusat bandar, LRT3 dijangka mengurangkan pergantungan menggunakan motosikal dalam kalangan pelajar dan belia yang berpotensi menurunkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.

Wan Mazlina berkata peralihan lima peratus daripada perjalanan menggunakan motosikal ke LRT3 boleh mengurangkan kemalangan membabitkan motosikal di sepanjang koridor itu sekitar tiga hingga lima peratus.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan