KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah atas kejayaan cemerlang menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Artik 2025 hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata kemenangan itu adalah gelaran kedua diraih pasangan berkenaan dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) musim ini.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah, atas kejayaan menjuarai Terbuka Artik 2025, sekali gus merangkul gelaran kedua Jelajah Dunia BWF musim ini.
“Kalian bukan sahaja kebanggaan negara, malah sumber inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya hari ini.
Ahmad Zahid berkata kejayaan itu juga membuktikan semangat juang, disiplin tinggi dan keazaman tanpa mengenal erti putus asa mampu mengangkat nama Malaysia di pentas dunia.
“Ayuh kita terus berdiri teguh di belakang wira dan wirawati sukan tanah air, memberikan doa dan sokongan padu agar lebih banyak kejayaan dapat dilakar untuk Malaysia! Malaysia Juara, Malaysiaku Boleh!,” katanya.
Pearly-Thinaah dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan beregu Jepun Rin Iwanaga-Kei Nakanishi 21-7, 21-9 pada aksi final kejohanan itu.
Dalam hantaran berasingan, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang muncul naib juara pada kejohanan sama malam tadi.
Beliau berkata walaupun pasangan itu tidak berjaya bergelar juara, semangat dan kesungguhan yang dipamerkan di gelanggang tetap menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik atas kejayaan meraih naib juara Terbuka Artik 2025.
“Setiap langkah adalah pengalaman menuju kejayaan yang lebih bermakna. Teruskan usaha dan perjuangan, rakyat Malaysia sentiasa di belakang kalian!,” katanya.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan kempen Terbuka Artik 2025 selaku naib juara selepas tewas 18-21, 27-25, 17-21 kepada pasangan England Ben Lane-Sean Vendy pada aksi final hari ini.
-- BERNAMA