PUTRAJAYA, 13 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan melindungi semua pihak yang tegas melaksanakan tanggungjawab membanteras rasuah dan menyelamatkan negara daripada ketirisan hasil selaras dengan komitmen pentadbiran untuk memperkukuh tadbir urus serta integriti nasional.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata tindakan berani dan segera perlu diambil bagi memastikan negara bebas daripada kegiatan rasuah serta salah guna kuasa yang menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kena cari jalan tegas, keras, segera dan saya akan pertahankan mereka dalam menjalankan tugas menyelamatkan negara.
“Saya sendiri mesti beritahu sokongan penuh saya dengan tindakan mereka dan kita hargai tindakan ini... tapi penguatkuasaan (sahaja) tidak cukup... tindakan tegas, tetapi masih ada (rasuah dan ketirisan),” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa
Perdana Menteri juga mengingatkan penjawat awam supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasaan dalam memastikan pentadbiran bersih serta berintegriti sebaliknya mereka perlu bersama-sama memikul tanggungjawab itu.
Anwar berkata penekanan terhadap aspek penguatkuasaan sejak dua tahun lepas telah membolehkan kerajaan menyelamatkan RM15.5 bilion daripada ketirisan, rasuah dan penyeludupan yang sebelum ini mengalir keluar dari negara.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia atas kejayaan itu serta menegaskan bahawa ia membuktikan ketegasan kerajaan dalam memastikan hasil negara dilindungi.
“Sebab itu, pada 2023 saya tekan, saya panggil badan-badan penguatkuasaan tapi tidak begitu berhasil... pada 2024, nampak ada kencang sedikit (hasil tindakan) badan penguatkuasaan... pada 2025, bayangkan (dalam tempoh) dua tahun kita dapat selamatkan RM15.5 bilion daripada penyeludupan, ketirisan dan rasuah,” katanya.
Perdana Menteri berkata perjuangan membanteras rasuah bukan tugas mudah kerana berisiko dan sering mendapat tentangan namun kerajaan tidak akan berundur daripada usaha membina pentadbiran yang bersih serta berakauntabiliti.
Beliau juga berkata usaha memperkukuh tadbir urus perlu bermula dengan pembetulan terhadap kesilapan dalam sistem pentadbiran terdahulu yang menjadi punca kepada ketirisan hasil negara.
Anwar berkata pihak yang hidup mewah hasil subsidi tidak akan bersetuju dengan langkah pembetulan yang dilakukan oleh kerajaan namun perubahan mesti dilakukan bagi menamatkan sistem lama yang tidak berkesan walaupun pentadbiran silih berganti.
“Kita ada setahun lagi... dua tahun lagi... lima tahun lagi... berkhidmatlah dengan sebaiknya.
"Bayangkan, dua tahun kita selamatkan RM15 bilion... kalau RM100 bilion dalam 10 tahun, kita dapat bina universiti, klinik desa, sekolah dan kemudahan OKU (orang kurang upaya).
“Saya bukan nak menafikan semua jasa dan khidmat (pemimpin) terdahulu... tapi saya nak tekankan, ini kenyataan,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata kejayaan membanteras rasuah bukan sahaja dapat menyelamatkan ketirisan sebaliknya meningkatkan martabat Malaysia sebagai sebuah negara yang kuat dan disegani.
-- BERNAMA