KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Seorang petugas Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) meninggal dunia akibat serangan jantung ketika melakukan aktiviti berbasikal secara bersendirian di Jalan Kuala Lumpur–Ipoh, Hulu Selangor pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ibrahim Husin berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 11.15 pagi berhubung penemuan lelaki berusia 39 tahun itu yang tidak sedarkan diri di sebuah stesen minyak di Batu 30.
“Pemeriksaan terhadap badan mangsa mendapati tiada kesan kecederaan luaran, pergelutan atau lain-lain kecederaan.
“Hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu mengesahkan individu berkenaan meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kes itu diklasifikasikan laporan mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Sjn Siti Khadijah Nus menerusi talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA