PUTRAJAYA, 13 Okt (Bernama -- Kira-kira 6,000 pelajar sekolah di seluruh negara direkodkan dijangkiti penyakit influenza setakat ini dan beberapa sekolah terpaksa ditutup atas nasihat pejabat kesihatan daerah masing-masing.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata penutupan sekolah dilakukan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), bagi memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
Beliau berkata pihak sekolah juga telah diarah untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan, bagi membendung penularan jangkitan influenza dalam kalangan murid.
“Sebenarnya kita ada pengalaman yang panjang dengan COVID-19 dan garis panduan dalam berhadapan penyakit berwabak ini.
“Kita sudah minta sekolah kita berpandukan garis panduan tersebut, supaya kita galakkan warga sekolah menggunakan pelitup muka dan pada masa yang sama mengurangkan aktiviti yang melibatkan murid-murid itu berinteraksi secara beramai-ramai,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Mohd Azam turut memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang akan bermula pada 3 Nov ini.
“Kita sudah minta pegawai di Lembaga Peperiksaan untuk bersedia dengan cabaran-cabaran ini, sebab SPM akan bermula,” katanya.
Khamis lepas, KKM memaklumkan 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.
Menurut KKM, semua negeri mencatatkan peningkatan, dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor (43 kluster), Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9), dan Kedah (5), dengan kebanyakan kes menunjukkan simptom ringan.
-- BERNAMA