AM

USAHA KUKUH PERPADUAN PERLUKAN KERJASAMA SEGENAP LAPISAN MASYARAKAT - AOD, PROJEK57

13/10/2025 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Media sosial telah mengubah cara golongan muda di Malaysia berhubung antara satu sama lain, menawarkan kaedah baharu untuk berinteraksi merentasi budaya, namun pada masa sama turut mewujudkan cabaran yang kompleks terhadap perpaduan sosial.

Menurut Architects of Diversity (AOD) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan, platform berkenaan membolehkan pelbagai komuniti mendapat lebih pendedahan dan suara dalam masyarakat.

Bagaimanapun, kebebasan berkenaan mampu melemahkan norma dan tanggungjawab, sekali gus membolehkan penyebaran maklumat palsu dengan pantas, mengukuhkan stereotaip, menimbulkan rasa tidak percaya serta meningkatkan ketegangan antara kumpulan masyarakat.

AOD menekankan walaupun meraikan kepelbagaian suara adalah penting, tingkah laku yang memudaratkan juga perlu ditangani. Justeru, beliau menggesa generasi baharu sebagai “pendukung dan penghubung” untuk menentang diskriminasi dalam talian serta memupuk budaya digital yang terangkum berdasarkan empati dan kedamaian.

“Walau bagaimanapun, usaha membina Malaysia yang lebih bersatu memerlukan lebih daripada sekadar perubahan tingkah laku dalam talian, ia memerlukan penyertaan aktif daripada komuniti perniagaan dan masyarakat,” kata pengurus besar AOD Neila Maryam dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, pengasas bersama Projek57, Colin Swee dalam kenyataan sama berkata beliau percaya usahawan, dengan sumber unik dan daya inovatif dimiliki mereka mempunyai potensi besar untuk memacu perubahan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya telah menjalin kerjasama dengan syarikat besar seperti Eco World, Touch 'n' Go, serta Allianz untuk melangkaui konsep tanggungjawab sosial korporat dengan melibatkan petugas dan pemimpin dalam sesi ceramah berkaitan perpaduan serta program bersama komuniti.

Sehubungan itu, Swee menangkis tanggapan umum bahawa perpaduan negara adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata, dan menegaskan ia memerlukan usaha bersama bermula dari peringkat akar umbi.

Beliau turut menyeru agar berlaku perubahan dalam cara berfikir, menggalakkan rakyat Malaysia untuk menghargai kelebihan negara seperti pendidikan percuma dan subsidi, dan bukannya hanya menumpukan kepada kekurangan atau kelemahan yang ada.

“Pandangan positif ini amat penting untuk menangkis naratif negatif yang boleh menimbulkan kekecewaan dalam kalangan rakyat serta mendorong sesetengah pihak terutama golongan muda dan keluarga mereka untuk mempertimbangkan meninggalkan negara,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan