AM

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT UUM KL: ORANG ASAL, PELAJAR USAHA BENTUK KEFAHAMAN BUDAYA

13/10/2025 08:00 PM

SHAH ALAM, 13 Okt (Bernama) -- Program Khidmat Masyarakat pelajar Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur (UUM KL) bersama Orang Asal Bukit Tadom, Banting dekat sini baru-baru ini merupakan usaha berterusan universiti untuk membina jaringan komunikasi sambil memupuk kefahaman budaya kedua-dua pihak.

Menurut hantaran di Facebook Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan UUM, program pada 4 Okt lalu yang disertai 39 pelajar Program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) UUM KL itu juga memberi ruang kepada mereka menzahirkan nilai-nilai murni seperti empati, kepimpinan, kerjasama dan semangat kesukarelawanan.

“Ia bukan sekadar belajar tentang pembangunan masyarakat dalam teori, tetapi mengaplikasikannya secara langsung di lapangan.

“Bertemakan ‘Komuniti Sejahtera, Mahasiswa Prihatin’, para pelajar mendekati komuniti (Orang Asal) dengan penuh hormat dan rendah diri, di samping menyampaikan mesej-mesej penting berkaitan kesihatan, keselamatan, dan nilai perpaduan,” menurut hantaran itu.

Program berkenaan turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi luar seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Banting, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Banting.

“Turut memberikan sokongan padu ialah pihak korporat seperti Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), yang menyediakan 250 Bakul MADANI untuk diagihkan kepada setiap ketua keluarga,” menurut hantaran itu.

Pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan, antaranya sukaneka komuniti, pertandingan kreatif, pemeriksaan kesihatan percuma, demonstrasi keselamatan, ceramah motivasi dan persembahan kebudayaan.

Majlis penutup disempurnakan oleh Nur Zairina Muzaini, wakil rasmi kepada Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor V. Papparaidu, yang juga Ahli Majlis Zon 21 Majlis Perbandaran Kuala Langat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan