KOTA KINABALU, 13 Okt (Bernama) -- Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya Kedutaan China di Malaysia telah mengeluarkan “amaran keras” kepada kerajaan Sabah berhubung isu bekalan air.
Menurut kenyataan hari ini, Konsulat Jeneral menegaskan bahawa sama ada kedutaan mahupun konsulat, tidak pernah mengeluarkan sebarang “amaran” atau “ancaman” kepada Kerajaan Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atau mana-mana pihak berkuasa tempatan berkaitan isu berkenaan.
"Dakwaan tersebut adalah palsu. Kedutaan China di Malaysia dan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu tidak pernah mengeluarkan sebarang “amarn” atau “ancaman” terhadap Kerajaan Negeri Sabah, DBKK atau mana-mana pihak berkuasa tempatan berhubung isu bekalan air.
“Kami juga tidak pernah mengeluarkan sebarang “nasihat perjalanan”,” menurut kenyataan itu.
Konsulat Jeneral menegaskan pihaknya terus menjunjung semangat persahabatan dan kerjasama saling menguntungkan antara China dan Malaysia, termasuk memperluas kerjasama praktikal antara China dan Sabah dalam bidang pelancongan, perdagangan serta kebudayaan.
Pihaknya juga akan terus mempromosikan pertukaran rakyat dengan rakyat serta memperkukuh kerjasama peringkat tempatan antara kedua-dua negara, menurut konsulat itu.
Pada masa sama, Konsulat Jeneral menyeru media supaya melapor berdasarkan fakta sahih serta mengelak penyebaran maklumat tidak disahkan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan hubungan persahabatan antara China dan Malaysia.
-- BERNAMA