AM

TABUNG KASIH@HAWANA BERI SINAR KEPADA PENERIMA SEMPENA DEEPAVALI

13/10/2025 10:25 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bantuan Tabung Kasih@HAWANA disampaikan hari ini membawa erti besar buat 16 pengamal media yang berdepan kesempitan hidup serta cabaran kesihatan, khususnya bagi penerima yang bakal menyambut perayaan Deepavali tidak lama lagi. 

Bekas wartawan kanan Malaysia Gazette, S. Kumara, 46, menyifatkan bantuan berkenaan ibarat sinar baharu selepas hampir sembilan bulan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya sangat terharu dan berterima kasih atas bantuan ini yang sedikit sebanyak meringankan beban hidup harian saya,” katanya. 

Kumara antara 16 penerima yang ditemui selepas majlis penyampaian bantuan Tabung Kasih@HAWANA oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching di Wisma Bernama di sini hari ini.

Majlis yang diadakan sempena sambutan Pesta Cahaya itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 Arul Rajoo Durar Raj.

Kumara berkata majlis itu juga menjadi bukti bahawa kebajikan wartawan masih dihargai walaupun selepas menamatkan perkhidmatan mereka dalam dunia media. 

“Majlis seperti ini bukan sahaja memberi bantuan, tetapi juga menyampaikan mesej bahawa kebajikan wartawan masih dibela.

“Ramai bekas wartawan yang tidak tahu tentang kewujudan tabung ini, jadi saya harap ia dapat diteruskan dan diperluas,” katanya.

Penerbit Meja Berita Mandarin Media Prima Wong Zhi Zhen, 33, turut menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan yang ditunjukkan melalui inisiatif terbabit. 

“Pada Mei lepas saya telah didiagnosis radang usus dan perlu menjalani pembedahan besar. Kos rawatan itu agak tinggi hingga mencecah sekitar RM100,000.

“Saya sangat bersyukur kerana bantuan Tabung Kasih@HAWANA boleh membantu menampung sebahagian daripada perbelanjaan rawatan itu, sekali gus mengurangkan tekanan kewangan yang saya hadapi,” katanya. 

Wong turut berharap program seumpama itu diteruskan dan ditingkatkan pada masa akan datang supaya lebih ramai rakan media dapat dibantu.

Selain sumbangan wang tunai, penerima turut diberikan hamper dan barangan keperluan sebagai tanda penghargaan atas dedikasi serta jasa mereka dalam dunia kewartawanan.

Tabung Kasih@HAWANA yang dilancarkan pada April 2023 dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi melalui Bernama setakat ini telah memanfaatkan 532 rakan media di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan