AM

OPERASI "PERANG LEBIH MUATAN BABIT KENDERAAN PERDAGANGAN" MULAI HARI INI - LOKE

14/10/2025 12:16 PM

PUTRAJAYA, 14 Okt (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengisytiharkan "Perang Lebih Muatan Melibatkan Kenderaan Perdagangan" menerusi tindakan operasi penguatkuasaan bersepadu bermula dari hari ini hingga 31 Dis.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tindakan penguatkuasaan itu ialah langkah tegas untuk mengekang sikap sambil lewa dan ketidakpatuhan dalam kalangan pengusaha serta pemandu kenderaan perdagangan yang membawa lebih muatan dan melanggar undang-undang jalan raya.

Katanya, operasi penguatkuasaan bersepadu itu dilaksanakan meliputi lima zon utama, iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo.

“Setiap negeri akan menggerakkan empat pasukan penguat kuasa, menjadikan keseluruhannya 12 pasukan aktif di setiap zon, dengan tempoh pelaksanaan tujuh hari berturut-turut bagi setiap siri operasi,” katanya dalam sidang media selepas majlis perhimpunan dan ikrar bebas rasuah JPJ di sini hari ini.

Loke berkata fokus utama operasi ini tertumpu kepada kawasan hotspot kenderaan perdagangan membawa lebihan muatan jenis berisiko tinggi, iaitu batu, pasir, tanah, silika, arang batu, besi, sawit dan kayu balak, yang membabitkan aktiviti kuari, pelabuhan dan sektor perindustrian berat.

“MOT dan JPJ ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar had muatan yang ditetapkan di bawah syarat lesen. 

“JPJ juga tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang cuai serta mengabaikan keselamatan awam sehingga mengakibatkan kerosakan jalan raya atau kemalangan," katanya.

Sementara itu, Loke berkata JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut diarahkan melaksanakan kerangka pentadbiran baharu bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat pengendali kenderaan perdagangan berisiko tinggi.

Melalui kerangka ini, pesalah berulang bukan sahaja akan dikenakan saman oleh JPJ, tetapi permit kenderaan atau lesen pengendali syarikat turut boleh digantung atau dibatalkan oleh APAD. 

“Langkah tegas ini bertujuan membanteras sikap segelintir pengendali yang menjadikan saman sebagai kos operasi, sekali gus memastikan setiap syarikat bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan dan pematuhan undang-undang pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata tindakan ini dibuat susulan dapatan Operasi Khas Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) yang dijalankan bermula dari 23 Jun hingga 31 Julai lepas terhadap 500 syarikat pengendali berisiko tinggi, iaitu 54.43 peratus daripadanya didapati gagal mematuhi peraturan. 

“Angka ini menunjukkan ketidakpatuhan yang serius dan sistemik, serta keperluan mendesak untuk memperkukuh mekanisme penguatkuasaan secara lebih menyeluruh,” katanya.

Loke berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan pengendali atau pemandu yang terbabit dalam kesalahan memandu kenderaan lebih muatan atau membawa muatan melebihi had ditetapkan.

“Saya tidak boleh bersabar lagi, memang banyak kemalangan melibatkan kenderaan berat yang kita rasa perkara itu disebabkan lebih muatan dan juga kelajuan yang lebih tinggi,” katanya.

--  BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan