Oleh Linda Khoo
(mengolah intro)
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dijangka menarik kehadiran besar petugas media, mencerminkan minat meluas dari peringkat serantau dan antarabangsa terhadap pertemuan peringkat tinggi itu.
Minat yang memberangsangkan ini menggambarkan kepentingan sidang tersebut sebagai platform utama bagi dialog dan kerjasama serantau.
Sambutan menggalakkan itu juga menegaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap usaha berterusan ASEAN dalam mempromosikan keamanan, kestabilan dan pembangunan mampan di seluruh rantau ini.
Ketua Sekretariat Induk Logistik ASEAN 2025 (SILA) Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin berkata setakat Isnin, sekretariat menerima lebih 2,100 permohonan daripada petugas media termasuk wartawan, jurugambar, juruvideo dan kru teknikal, mewakili 150 organisasi media dari lebih 20 negara.
“Kami menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat apabila negara anggota ASEAN serta rakan dialog, sektor dan pembangunan memohon penambahan petugas media untuk membuat liputan sidang kemuncak itu.
“Jumlah keseluruhan petugas media yang hadir dianggarkan melebihi 2,000 dan boleh mencecah hampir 3,000 orang,” katanya kepada Bernama.
Raja Saifful berkata Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 yang berteraskan prinsip keterangkuman dan kemampanan turut menarik perhatian serta penyertaan global yang lebih meluas.
“Penyertaan para pemimpin ASEAN dan rakan dialog menyediakan peluang tambahan kepada media untuk merakam perkembangan serta hasil penting yang relevan pada peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.
Setakat Isnin, sebanyak 1,386 permohonan media telah diluluskan, terdiri daripada 260 media rasmi, 942 media asing dan lebih 200 wakil media tempatan. Sementara itu, lebih 700 pemohon dengan permohonan yang belum lengkap sedang dalam proses melengkapkan pendaftaran mereka."
Raja Saifful berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa sidang kemuncak berkenaan dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah blok serantau itu, dengan pelbagai isu substantif akan dibincangkan dan diperhalusi semasa mesyuarat.
Beliau berkata penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN menandakan satu lagi detik bersejarah bagi blok serantau itu selepas sekian lama tanpa keanggotaan baharu, dan dijangka menjadi antara tumpuan utama liputan media.
“Satu lagi tarikan besar ialah kehadiran pemimpin berprofil tinggi, ketua negara dan ketua kerajaan daripada rakan dialog serta tetamu pengerusi.
“Perdana Menteri dan Menteri Luar menyebut bahawa berdasarkan dinamika geopolitik semasa, kehadiran tokoh-tokoh berprofil tinggi ini amat dinanti-nantikan.
“Media khususnya akan berminat untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai isu-isu berkaitan perkembangan semasa global dan serantau,” katanya.
Apabila ditanya mengenai persiapan bagi menampung jumlah kehadiran besar petugas media, Raja Saifful berkata Pusat Media Antarabangsa telah disiapkan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan wakil media yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN.
Beliau berkata pusat itu dilengkapi dengan Internet berkelajuan tinggi, ruang kerja dan siaran langsung, disokong oleh pasukan khas yang akan membantu dalam urusan akreditasi, logistik dan perkhidmatan maklumat sepanjang acara berlangsung.
Mengenai pergerakan petugas media semasa sidang kemuncak di KLCC, Raja Saifful berkata aspek keselamatan kekal sebagai keutamaan.
“Namun pada masa sama, sekretariat tidak mahu mengehadkan pergerakan media atau menyukarkan mereka untuk melaksanakan tugas,” katanya.
Beliau berkata perbincangan lanjut akan diadakan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyelaras pergerakan media dan memastikan kelancaran operasi sepanjang sidang kemuncak.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini menandakan kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 yang membawa tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa antara pemimpin dunia yang dijangka hadir ke sidang kemuncak itu.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebanyak 84 dokumen hasil sidang dijangka akan diterbitkan sempena sidang kemuncak tersebut.
-- BERNAMA