SIBU, 14 Okt (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menzahirkan rasa gembira dan penghargaan terhadap gerakan media sosial oleh seorang pencipta kandungan Tracey E. Hughes serta rakan-rakannya dalam usaha menjaga kebersihan Lebuhraya Pan Borneo (LBP).
Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja mencerminkan semangat cintakan kebersihan malah menunjukkan tahap kesedaran sivik yang tinggi dalam kalangan rakyat terhadap kepentingan menjaga kemudahan awam.
“Melihat tahap kesedaran awam yang semakin meningkat, ditambah dengan usaha yang digerakkan oleh saudari Tracey dan rakan-rakan, saya dan warga Kementerian Kerja Raya (KKR) berasa tidak bersendirian dan lebih bersemangat untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanta turut menyatakan hasrat untuk bertemu dengan kumpulan tersebut bagi meneroka ruang kerjasama dalam memperhebat kempen kesedaran kebersihan jalan raya.
“Saya juga melihat potensi untuk mengangkat mereka sebagai Duta MYJalan di Sarawak bagi memperluas kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan keselamatan jalan raya,” ujarnya.
Menurut Nanta tindakan sukarela seperti itu merupakan satu bentuk penghargaan terhadap usaha kerajaan yang telah memperuntukkan berbilion ringgit bagi menyediakan jaringan jalan dan lebuh raya yang selesa serta selamat untuk rakyat.
“Saya menyokong penuh dan mengalu-alukan usaha seperti ini kerana ia menyebarkan mesej yang positif kepada masyarakat serta membuka mata orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan dan keselamatan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata usaha sedemikian membantu memperkukuh mesej bahawa jalan raya bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi juga amanah bersama rakyat.
Nanta menyeru lebih ramai rakyat tampil menyokong dan menyertai inisiatif seumpama itu demi memastikan persekitaran jalan raya yang bersih, selamat dan sejahtera.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada Ogos lepas, KKR telah melancarkan Kempen Kesedaran Kebersihan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bertemakan ‘Jum Jaga Pan Borneo Bait-Bait’.
-- BERNAMA