KUANTAN, 17 Okt (Bernama) -- Program Junior Superhero Simpan SSPN Tahun 2025 merupakan inisiatif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam menyemai budaya menabung sejak awal usia.
Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan bersempena Hari Tabungan Sedunia itu, PTPTN memberikan sumbangan berjumlah RM10,000 untuk 50 kelahiran bayi baharu pada bulan ini.
“Sumbangan ini melibatkan pembukaan atau penambahan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 dan cenderahati berupa hamper barangan bayi bernilai RM100 kepada setiap penerima,” katanya ketika ditemui pemberita pada program berkenaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang Nurfarhana Lee Mohd Zulkiflee Lee, Timbalan Pengarah Pengurusan HTAA Boniface Basin Nyirob dan Pengurus Besar Kanan PTPTN Wan Zawiah Wan Abu Bakar serta Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pahang Sapiza Ajuhari.
Beliau berkata program berkenaan mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan HTAA, selain PTPTN turut menjalin kolaborasi strategik bersama kerajaan negeri menerusi Program Permata Makmur mulai tahun lepas.
Norliza berkata Program Permata Makmur merupakan inisiatif kerajaan negeri yang memberikan bantuan secara sekali beri berjumlah RM300 kepada bayi warganegara Malaysia yang dilahirkan di Pahang, dengan RM250 diberikan dalam bentuk pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime manakala RM50 menerusi barangan bayi.
Dari Januari 2024 hingga 1 Okt lepas, sebanyak 11,853 bayi kelahiran baharu telah menerima insentif itu yang disalurkan melalui akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM2.96 juta.
“Tahun ini kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM6 juta untuk program berkenaan, jadi saya menyeru para ibu di Pahang membuat permohonan bagi Program Permata Makmur ini. Simpan SSPN banyak manfaat antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan hingga RM8,000.
“Saya galakkan supaya menabung dari sekarang kerana kos pendidikan saban tahun semakin tinggi, jadi kita harapkan tabungan ini memberi kelebihan supaya bila anak nak sambung belajar tidak perlu cari dana lain kelak,” kata Norliza.
Sementara itu, seorang penjawat awam dan ibu kepada empat anak, Fatimah Mohamed, 41, memuji inisiatif itu yang disifatkan sangat membantu ibu bapa dalam membuat persediaan awal pendidikan anak-anak.
“Sekurang-kurangnya bila ada skim macam ini, kita dah boleh mula menyimpan dari awal. Anak baru lahir pun dah boleh buka akaun, memang bagus untuk masa depan mereka,” katanya yang baru melahirkan bayi lelaki di HTAA tiga hari lepas.
Sejak diperkenalkan pada 2004 hingga 30 Sept 2025, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM22.47 bilion dengan 7.16 juta akaun telah dibuka.
Maklumat lanjut dan permohonan Program Permata Makmur boleh dibuat secara dalam talian melalui permatamakmur.pahang.gov.my.
-- BERNAMA