KOTA BHARU, 15 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 di Kelantan berjalan lancar tanpa sebarang isu besar sejak hari pertama pelaksanaannya, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail.
Beliau berkata pemantauan pasukan penguat kuasa mendapati rakyat negeri itu semakin memahami kaedah penggunaan kad pengenalan sebagai medium utama untuk pengisian minyak bersubsidi.
“Setakat ini, Alhamdulillah, tiada isu besar dilaporkan. Hanya beberapa isu kecil seperti kad pengenalan tidak aktif, kad tidak dapat dikesan ketika diimbas di pam, atau pengguna yang masih belum memahami sepenuhnya cara sistem BUDI MADANI berfungsi.
“Sebagai contoh, ada pengguna menyangka nilai yang dipaparkan pada meter pam tidak tepat, kerana mereka membayar RM10 tetapi meter menunjukkan RM2.60. Sebenarnya, jumlah subsidi hanya dipaparkan pada resit pengisian. Pengguna tetap menerima nilai bahan api lebih tinggi iaitu sekitar RM13 untuk bayaran RM10,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Azman berkata bagi kategori individu, subsidi disalurkan melalui sistem BUDI95 yang dikendalikan Kementerian Kewangan, manakala bagi kategori peniaga berdaftar, ia dilaksanakan menerusi Sistem Kawalan Petrol dan Diesel Bersubsidi (SKPS) di bawah KPDN.
Beliau berkata SKPS disasarkan kepada pengusaha bot, pemandu e-hailing, teksi serta penghantar makanan seperti Grab, Uber dan Foodpanda yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta disahkan oleh platform masing-masing.
“Melalui SKPS, peniaga boleh menggunakan kad subsidi untuk mendapatkan minyak pada harga RM2.05 seliter, berbanding harga pasaran.
“Untuk mendaftar, mereka hanya perlu mengisi borang secara dalam talian di portal rasmi SKPS dan akan menerima surat kelulusan daripada KPDN. Surat itu kemudiannya dibawa ke syarikat minyak pilihan untuk proses pengesahan,” katanya.
Beliau menjelaskan, setiap pemohon boleh memilih sehingga tiga syarikat minyak (OilCo) bagi satu permohonan, contohnya 40 peratus kuota di Petronas, 30 peratus di Petron dan 30 peratus di Shell bagi memudahkan pengisian apabila satu daripada stesen tidak tersedia.
“Kalau pengguna hanya berdaftar dengan satu syarikat, contohnya Petronas, dan stesen itu tiada berhampiran, mereka masih boleh mengisi di tempat lain tetapi pada harga pasaran biasa,” jelasnya.
Azman berkata setakat ini, pendaftaran SKPS di Kelantan masih dalam proses peningkatan, manakala sebahagian besar pengguna masih menggunakan kategori BUDI individu secara langsung.
“Kami baru selesai mesyuarat dan mendapati jumlah pendaftaran SKPS masih rendah. Kini kami sedang giat menjalankan promosi kepada peniaga berdaftar untuk mendaftar sama ada secara dalam talian atau di pejabat KPDN berhampiran,” katanya.
Program subsidi bersasar BUDI95 bertujuan membantu rakyat menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter.
Menerusi pelaksanaan sistem bersasar itu, lebih 16 juta rakyat kini menikmati manfaat subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.
-- BERNAMA