AM

MARDI LAKSANA R&D BENIH JAGUNG BIJIAN KURANGKAN KEBERGANTUNGAN IMPORT

15/10/2025 12:15 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sedang melaksanakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk menghasilkan varieti benih jagung bijian yang lebih sesuai dengan cuaca Malaysia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata ia antara inisiatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada import bahan makanan ternakan.

"Kita perlu menghasilkan dulu benih ataupun varieti yang lebih sesuai kepada cuaca kita yang lebih banyak taburan hujan berbanding dengan negara pengeluar yang lain dan juga lebih sesuai dengan kelembapan tanah di tempat kita,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) sama ada kementerian telah menemukan benih jagung bersesuaian untuk mengatasi isu kebergantungan kepada import bahan berkenaan.

Arthur berkata kerajaan juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan  beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk FGV Holdings Berhad dan Genting Plantation Berhad pada tahun lepas bagi pelaksanaan projek penanaman jagung bijian berskala besar.

Beliau berkata kerajaan telah mengenal pasti potensi tanah seluas 15,375 hektar untuk tujuan berkenaan. 

Selain itu, Arthur berkata 10 kerajaan negeri, iaitu Perlis, Perak, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak turut bersedia membangunkan tanaman jagung bijian.

Menjawab soalan asal Bakri mengenai inisiatif dalam mengurangkan import bahan mentah makanan haiwan, Arthur berkata kementerian antaranya telah menyalurkan peruntukan RM1 juta di bawah Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan untuk pembangunan infrastruktur, input pertanian, mesin dan kelengkapan penanaman rumput ternakan. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan